Sunday, October 31, 2010

Takut Kepada Allah

TAKUTLAH KAMU KEPADA ALLAH TA`ALA

Wahai saudaraku sekalian!....
Takutlah kamu kepada Allah Ta`ala dan dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat, ta`atlah kamu kepada Rasulullah Sallallahu`alaihi Wasallam dengan mengikut sunnahnya.  Mudah-mudahan kamu dikasihani Allah Ta`ala kemudian daripada mati kamu.

Ketahuilah, bahawa mengerjakan sembahyang, mengeluarkan zakat dan mengikut apa-apa jua hukuman-Nya adalah wajib.  Allah telah menjanjikan kepada kamu dengan Syurga di akhirat sebagai balasan-Nya bagi sesiapa yang ta`at dan disiksa-Nya kamu dengan api neraka-Nya kerana membinasakan amanah-Nya.

Dari itu peliharalah sembahyang dan dirikanlah sembahyang Juma`at pada harinya dengan syarat tertentu.  Sembahyang Juma`at itu fardhu `ain atas tiap-tiap lelaki yang merdeka, yang bermukim lagi mastautin empat puloh orang didalam satu kampong.  Barangsiapa meninggalkan sembahyang Juma`at dengan tiada uzurnya tiga kali berturut-turut niscaya tertulis namanya pada Luh Mahfudz sebagai orang yang munafiq dan dilaknat Allah Ta`ala akan dia selama hidupnya jika ia tidak bertaubat daripadanya serta tidak diqadhanya dengan sembahyang zuhur.

Hai saudaraku!....
Banyakkanlah ibadat pada hari Juma`at dan malamnya kerana hari Juma`at itu penghulu segala hari.  Banyakkan membaca Al-Quran dan berselawat atas Nabi Sallallahu `Alaihi Wasallam serta beristigfar setiap kali datang Juma`at.  Pada hari Juma`at terdapat satu masa yang makbul (mustajab).

Apabila masuk masjid kerjakanlah sembahyang tahiyyatul masjid jika tidak ada qadha bagi kamu.  Apabila khatib membaca khutbah maka diamlah dan dengarkan khutbah kerana bacaan khutbah adalah satengah daripada  syarat sah Juma`at.  Jangan berkata-kata waktu khatib membaca khutbah maka barangsiapa berbuat demikian sia-sialah Juma`atnya.

Hai saudaraku!......
Dirikanlah sembahyang dengan berjema`ah  kerana sembahyang berjema`ah itu fardhu kifayah atas lelaki yang merdeka yang tiada uzur baginya.  Berdosalah segala ahli kampong yang tiada mendirikan sembahyang berjema`ah.  Kelebihan sembahyang berjema`ah daripada sembahyang seorang diri ialah :
  • 27 derajat 
  • Memperolehi pahala  sembahyang yang sempurna  
  •  Memperoleh pahala berhimpun beribadat kepada Allah Ta`ala

Barangsiapa sembahyang berjema`ah tiap-tiap waktu hingga sampai  40 hari dan malamnya niscaya disuratkan Allah Ta`ala baginya kelepasan dari api neraka dan kelepasan dari munafiq.  Barangsiapa berjalan menuju masjid dengan niat mengerjakan sembahyang berjema`ah niscaya disuratkan Allah Ta`ala baginya 10 kebajikan, dihilangkan daripadanya 10 kejahatan.

Ya Allah Ya Tuhan kami!...
Jadikanlah kami daripada orang yang takut kepada Engkau dengan istiqamah serta ta`at .  Taufiqkan kami dengan ta`at selama-lamanya. ..Amin..Ya Rabbal `Aalamiin.



والله أعلم

Thursday, July 15, 2010

IBADAH PADA HARI JUMAAT

Hari Jumaat mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri. Ia adalah penghulu segala hari. Ia juga dianggap hari raya mingguan dalam Islam. Sabda Rasulullah
 صل الله  عليه وسلام  :

 ~* ~ 
Sebaik-baik hari yang matahari terbit pada hari itu ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam telah dijadikan, pada hari itu juga ia dimasukkan dalam syurga, dan pada hari itulah  ia dikeluarkan darinya.

Hari Jumaat juga dinamakan ``hari pemberian tambahan`` kerana pada hari tersebut Allah Subhaanahuu Wata`ala mengurniakan rahmat yang banyak kepada hambaNYA. Segala permohonan yang diminta oleh seseorang hamba itu akan dikabulkan sekiranya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan ``waktu mustajab``. Ia tidak ditentukan, boleh jadi pada waktu pagi atau petang, siang atau malam, ketika imam duduk antara khutbah atau selepas Sembahyang Asar pada hari yang berkenaan. Tujuannya supaya setiap hamba sentiasa beribadat dan berdoa kepada Allah. Rasulullah صل الله  عليه وسلام  bersabda :

~*~
Malaikat Jibrail عليه وسلام telah datang kepadaku sedangkan ditapak tangannya  ada sebuah cermin putih. Ia  berkata : Ini adalah hari Jumaat, yang disediakan untuk mu oleh Tuhanmu, untuk menjadi satu hari raya bagimu dan umatmu selepas kau. Di tengah-tengah cermin ini ada satu titik. Aku (Muhammad) bertanya: Titik apakah ini? Ia menjawab: Ia adalah satu saat dari dua puluh empat jam, barangsiapa berdoa kepada Allah Taala pada saat itu, nescaya Allah Subhanahu Wata`ala memperkenankan permohonannya. Ia (Jumaat) adalah penghulu semua hari.

Terdapat banyak hadis yang membicarakan ketentuan waktu-waktu yang mustajab :

~*~
Darinya (Abu Hurairah) bahawasanya Rasulullah  صل الله  عليه وسلام  menyebut-nyebut tentang hari Jumaat. Beliau bersabda : Pada hari Jumaat itu ada suatu saat yang apabila bertepatan dengan seorang Islam ketika ia sedang sembahyang memohon sesuatu kepada Allah Subhanahu Wata`ala nescaya Allah akan memperkenankan dia. Sambil ia mengisyaratkan dengan tangannya, menunjukkan sedikitnya waktu yang dimaksudkan itu.

Setengah ulama berpendapat bahwa waktu tersebut ialah masa diantara ketika imam duduk diatas mimbar sehinggalah sempurna ia menunaikan sembahyang Jumaat, berdasarkan hadis ini :

~*~
Dari Abu Burdah bin Abu Musa al-Ashari  Radhiallahu `anhu, katanya : Abdullah bin Umar Radhiallahu `anhu bertanya : Pernahkah engkau mendengar ayahmu bercerita tentang Rasulullah صل لله  عليه وسلام  iaitu mengenai Jumaat? Ia menjawab  Ya. Saya pernah mendengar dia (bapa) berkata: Saya mendengar Rasulullah صل الله  عليه وسلام bersabda : Ia adalah antara duduknya imam (di atas mimbar) sehingga sempurna sembahyang.


Hadis yang lain menyatakan  bahawa waktu mustajab yang dimaksudkan itu ialah selepas waktu asar :

~*~
Bahawasanya Nabi  صل الله  عليه وسلام ada bersabda: Sesungguhnya pada hari Jumaat itu ada suatu saat apabila bertepatan dengan seseorang Islam, memohon kepada Allah Subhanahu Wata`ala ketika itu, Allah akan memperkenankannya, (saat itu) ialah selepas asar.

~*~
Nabi  صل الله  عليه وسلام bersabda : Hari Jumaat itu dua belas jam. Sebahagian daripadanya ada suatu waktu, yang tidak didapati padanya seseorang hamba Islam yang memohon sesuatu kepada Allah , melainkan  Allah memberi akan dia, carilah dia pada akhir  waktu, sesudah asar.



Dalam sebuah hadis lain disebutkan bahawa masa yang dimaksudkan itu iala pada akhir hari Jumaat, saperti yang dijelaskan oleh hadis berikut :

~*~
Abu Salamah bin Abdul Rahman berkata : Bahawa sekumpulan manusia yang terdiri daripada sahabat Rasulullah  صل لله  عليه وسلام  duduk berkumpul, lalu mereka membincangkan tentang masa yang terdapat pada hari Jumaat. Mereka kemudian pergi (sesudah menetapkan) bahawa saat itu ialah pada akhir waktu dari hari Jumaat.

Penghulu segala hari ialah hari Jumaat,  sebagai hamba Allah, seseorang itu perlu mengambil peluang dengan kehadiran hari tersebut, yang didatangkaan seminggu  sekali untuk beribadah kepada Allah.  Ini  bertepatan dengan tujuan kelahiran manusia didunia ini, iaitu untuk beribadah kepada Allah (saperti dinyatakan didalam Al-Quran Surah Az-Zariyat Ayat 56). Memang ada  lojiknya sekiranya kita memperbanyak ibadah pada hari berkenaan. Selama enam hari kita telah banyak melakukan amalan keduniaan tetapi mungkin kurang melakukan amalan akhirat. Maka adalah lebih adil sekiranya kita penuhi hari tersebut dengan menumpukan amalan untuk akhirat. Pada setiap hari Jumaat Allah mengutuskan malaikat turun kebumi untuk mencatat nama mereka yang kemasjid, kemudian malaikat-malaikat itu naik kelangit menyembahkan catatan yang dicatatnya dibumi. Allah Subhanahu Wata`ala mengampunkan dosa-dosa mereka yang datang ke masjid :

~*~
Apabila datang hari Jumaat, Allah Taala mengutus malaikat kemuka bumi. Ditangan mereka ada kalam-kalam emas dan kertas daripada perak. Mereka berdiri dipintu-pintu masjid dan menulis nama mereka yang masuk masjid dan bersembahyang Jumaat. Apabila sempurna sembahyang, mereka semua naik ke langit dan berkata : Wahai Tuhan kami, kami telas tulis nama mereka yang masuk masjid dan bersembahyang Jumaat. Allah Ta`ala menjawab: Wahai malaikatKu, demi keagungan dan kebesaranKU sesungguhnya Aku telah ampuni mereka dan mereka sudah tidak berdosa sedikitpun. 

Kebesaran hari Jumaat bukan hanya dimaklumi oleh manusia dan malaikat sahaja tetapi juga oleh semua kejadian Allah, saperti bumi, langit, angin dan sebagainya. Semuanya memohon belas kasihan kepada Allah pada hari berkenaan :

~*~
Penghulu segala hari ialah hari Jumaat.  Itulah hari yang teragong disisi Allah Taala, dan (ia) adalah lebih besar daripada   Hari Raya Fitrah dan Raya Korban. Pada hari itu terjadi lima peristiwa: Allah Taala menurunkan Nabi Adam `alaihis salam ke bumi, pada hari tersebut Allah Ta`ala mematikan Nabi Adam, pada hari Jumaat itu juga ada suatu saat yang tidak ada seorang hambapun yang memohon sesuatu, kecuali Allah Ta`ala akan perkenankan permohonannya, selagi ia tidak meminta sesuatu yang haram. Pada hari itu juga terjadinya hari kiamat.  Tidak ada seorang malaikat pun, sekalipun yang amat dekat kedudukannya (di sisi Allah), langit,bumi, angin, gunung, juga lautan, melainkan semuanya memohon belas kasihan pada hari  Jumaat.


Di antara amalan yang patut  dilakukan pada hari Jumaat  ialah membaca Al-Quran. Diantara surah yang perlu dibaca ialah surah Al-Kahfi.  Allah Ta`ala mengampunkan dosa mereka yang membaca surah tersebut sehingga dua Jumaat. Saperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis :

~*~
Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka memancarlah cahaya dari bawah tapak kakinya hingga ke puncak langit. Cahaya itu terus menyinarinya pada hari kiamat dan diampunkan untuknya antara dua Jumaat. 





Thursday, July 8, 2010

PESANAN

Pesanan Tuan Guru kami 


katanya menyuruh Nabi `Alaihissalam, baca Al-Kahfi, Yaasiiin  pada malam Jumaat dan Ad-Dukhan, Ali-Emran pada siang Jumaat.  

Banyakkan muraqabah pada malam Jumaat dan banyakkan selawat pada malam dan siang Jumaat.

Wallahul muaffiqu limaiyasyaa.

Wednesday, July 7, 2010

Meninggalkan Perniagaan dan.......

MENINGGALKAN PERNIAGAAN DAN KERJA-KERJA PADA HARI JUMAAT

Agama-agama lain ada menentukan hari ibadatnya satu hari didalam satu minggu.  Misalnya agama Nasrani menetapkan hari Ahad sebagai hari untuk ibadat dan juga hari berehat dan begitu juga agama Yahudi menjadikan hari Sabtu hari ibadat mereka dan hari rehatnya.

Bagi umat Islam telah ditetapkan bahawa pada hari Jumaat adalah penghulu segala hari, hari khas untuk menambahkan ibadat, hari berhenti kerja dan berniaga terutamanya pada waktu hampir Jumaat sebagaimana maksud Firman Allah Ta`ala :

))*(( HAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, APABILA DISERU BUAT MENGERJAKAN SEMBAHYANG HARI JUMAAT, HENDAKLAH KAMU PERGI KE ZIKRULLAH ITU DAN HENDAKLAH KAMU TINGGALKAN PERDAGANGAN. YANG DEMIKIAN ITU BAIK BUAT KAMU, JIKALAU KAMU MENGETAHUI ((*))
(Surah AlJumaah Ayat 9)


Tetapi didalam ayat ini  umat Islam tidak disuruh untuk terus berhenti kerja dan berniaga, yang dimaksudkan ialah apabila muazzin mulai azan untuk sembahyang Jumaat, maka semua pekerjaan mesti dihentikan. Dan satelah menunaikan sembahyang Jumaat Allah memerintahkan kita lagi saperti maksud  Firman Allah Ta`ala:


))*(( APABILA TELAH SELESAI SEMBAHYANG MAKA HENDAKLAH KAMU BERTEBARAN DI BUMI DAN HENDAKLAH KAMU CARI REZQI KERANA ALLAH, DAN HENDAKLAH KAMU BANYAK INGAT KEPADA ALLAH SUPAYA KAMU DAPAT KEJAYAAN ((*))
(Surah AlJumaah Ayat 10)


Walaupun disini kita berpendapat hari Jumaat itu tidak dimestikan sebagai hari berhenti bekerja, tetapi memandangkan hari Jumaat itu sebagai hari yang mulia dan hari raya didalam satu minggu bagi umat Islam, hari yang banyak kelebihannya, yang mana umat Islam (lelaki) diwajibkan berkumpul beramai-ramai dimasjid, berkenal-mesra satu sama lain, mendengar khutbah sembahyang Jumaat maka patut sekali hari Jumaat ini dijadikan hari kelepasan awam di dalam negera-negera Islam didunia ini sebagaimana yang telah diamalkan di beberapa negara Islam. Janganlah umat Islam menggunakan hari Jumaat  sebagai hari berseronok-seronok.  Sesuaikanlah diri dengan masa untuk beribadat, masa untuk merehatkan badan dan fikiran. Dengan begitu kesihatan kita akan bertambah baik dan keimanan kita bertambah mendalam. 

Dan kemungkinan besar dari sinilah juga sebahagian puncanya kenapa kebanyakkan orang mengidap penyakit tekanan darah yang tinggi, hasil bebanan kerja keduniaan yang tanpa batas dan rehat yang tidak cukup justeru menjejaskan kesihatan .

Wabillahit taufiq Wassalaamu`alaikum Warahmatullah.
((< * >))
 

Monday, July 5, 2010

Kewajiban Umum

KEWAJIBAN ORANG AWAM UNTUK MENJAGA DAN MEMAKMURKAN MASJID

  • Menjaga masjid dari segala kekotoran, baik didalam mahu pun diluar masjid.
  • Menjaga masjid supaya sentiasa bersih dan terpelihara.
  • Menjaga harta-benda masjid, baik yang didalam masjid, kawasan masjid atau dimana-mana saja.
  • Memperbaiki masjid sekiranya didapati rosak.
  • Menegur sesiapa yang dianggap tidak menghormati masjid, saperti orang yang membuat bising, bermain-main dan lain-lain lagi.
  • Mengadakan penjagaan yang tetap dan teratur kepada masjid, saperti tukang azan, tukang bersihkan masjid dan kawasannya supaya sentiasa bersih dan terpelihara.
  • Menanam pokok-pokok bunga yang tujuannya mewangikan dan mengharumkan serta mencantikkan lagi kawasan masjid.
  • Mengadakan bilik khutub khanah dengan buku buku agama dan buku buku pengetahuan yang berguna.
  • Mengadakan kelas bimbingan agama baik untuk orang dewasa dan kanak kanak.
  • Mengadakan tabung kewangan untuk pengurusan, penjagaan dan kebajikan masjid.


Wabillaahittaufiq.
****

Kolam Masjid

Air Di Kolam Masjid

Allah telah menurunkan air yang bersih kepada manusia untuk digunakan jadi minuman dan membersih serta beribu-ribu kegunaan lagi. Ada satengah masjid masih lagi menggunakan air dikolam untuk berwudhuk. Air yang didalam kolam yang akan digunakan untuk wudhuk biarlah sentiasa bersih. Untuk menjaga supaya air kolam sentiasa bersih pastikanlah :

  • Air kumur-kumur jangan dimasukkan  semula kedalam kolam.
  • Jangan membasuh kaki dengan memasukkan kaki kedalam kolam.
  • Air hingus, ludah dan dahak tidak dihembuskan semula kedalam kolam.
  • Jangan sesiapa mandi masuk kedalam kolam.
  • Tidak membuang sampah dan barang-barang makanan  kedalam kolam.
  • Tidak menggunakan cebok (gayung) yang telah kotor.
  • Tidak ada tempat buang air besar dan kecil berhampiran dengan kolam.
  • Untuk segera menggantikan air didalam kolam dengan air yang baru dan bersih apabila didapati air kolam telah tidak baik, berbau dan bertukar warna serta banyak kotor didalamnya.
Wabillaahittaufiq. ***

Friday, July 2, 2010

KEWAJIBAN JUMAAT

Kewajiban Sembahyang Jumaat
*************************************
))*((

Apabila telah hampir dengan waktu hendak mengerjakan sembahyang Jumaat, makanlah sedikit apa-apa makanan terlebih dahulu dan bersedialah segera dengan memakai pakaian serba putih dan bersih, janganlah memakai pakaian yang menjolok mata, serta gunakanlah bau-bauan yang harum yang tidak mengandungi alkohol asli.

Yang paling baik pakailah baju jubah atau serban serta kupiah putih bagi membesarkan hari Jumaat serta telah mengambil air sembahyang terlebih dahulu dan kemudian bersegeralah pergi ke masjid. Elok berjalan kaki sahaja kerana tiap-tiap langkah  untok pergi ke masjid  akan diberi pahala oleh Allah di akhirat kelak.  Di sepanjang perjalanan ke masjid baik berkenderaan maupun berjalan kaki sentiasalah mengingat Allah, berzikrullah atau selawat atas Nabi atau  di baca ayat berikut seberapa banyak.

YAA DAA IMAL FADH LI `ALAL BARIY YAH
YAA BAA SI THAL YADAI NI BIL `ATHIY YAH
YAA SHAA HIBAL MAWAA HIBIS SANIY YAH
SHAL LI `ALAA MUHAMMADIN KHAI RIL BARIY YAH
WAGH FIRLII YAA ZAL `OLAA FII HAA ZIHIL `ASYIY YAH.


Apabila masuk ke masjid dahulukan kaki kanan dan bacalah doa ini :

ALLAA HUMMAF TAHLII ABWAABA RAHMATIK



Setelah memasuki masjid carilah tempat untuk sembahyang iktiqaf masjid terlebih dahulu serta sembahyang tahiyyatal masjid, satelah sembahyang  duduklah dengan khusuk dan tawadhuk sambil menyebut LAA ILAA HA ILLALLAAH seberapa banyak yang terdaya atau selawat akan Nabi atau membaca Al-Quran sementara menanti waktu azan supaya masa itu tidak terbuang dengan begitu saja.

Apabila muazzin telah azan janganlah  bersembang-sembang lagi, jawablah seruan azan itu dengan perlahan. Satelah muazzin habis azan  maka dirikanlah sembahyang sunat Jumaat dua raka`at sabelumnya.  Sesudah itu duduklah dengan khusuk untok menantikan azan yang kedua dan khutbah Jumaat, kalau tidakpun duduk dan diamlah dengan mengingat Allah.

Semasa kita masuk ke masjid sedang muazzin sedang azan saeloknya janganlah terus duduk, berdirilah dahulu sehingga selesainya azan barulah duduk atau sebaik-baiknya sembahyang dua raka`at sunat Jumaat dahulunya (Qabliatan).

Apabila khutbah mula dibacakan hendaklah diam dan mendengarkannya dengan teliti dan jangan sampai mengantok atau berangan-angan.

Didalam sembahyang pula jangan cuba-cuba menunjukkan pandai atau apa-apa kelebihan, sembahyanglah dengan khusuk dan tawadhuk supaya supaya sembahyang Jumaat kita di terima oleh Allah yang Maha Pengampun.

Satelah habis sembahyang Jumaat eloklah sembahyang dua raka`at sunat sesudahnya (Ba`diyatan) dan berdoalah  apa-apa yang patut. Dan sesudah itu bolehlah keluar dari masjid dan ingatlah Allah disepanjang jalan dan janganlah melakukan apa-apa perkara yang tidak diredhai Allah.



Wabillahit Taufiq
((((^^^))))

Thursday, July 1, 2010

SUNAT-SUNAT PADA HARI JUMAAT

Satengah daripada  perkara-perkara yang sunat dilakukan pada hari Jumaat :

  • Mandi sunat Jumaat pada subuh hari Jumaat atau paginya dengan membuang segala daki-daki dan segala kotoran-kotoran pada badan dan gigi kita.
  • Bercukur rambut atau bergunting, membela misai atau membela janggut, membuang kuku tangan dan kaki serta membersihkannya dan mencabut bulu ketiak.
  • Memakai pakaian yang berwarna putih bila hendak sembahyang Jumaat atau memakai jubah dan serban.
  • Memakai bau-bauan yang  harum bila hendak ke masjid.



KEBERSIHAN DALAM ISLAM :

Firman Allah Ta`ala 
Bahawasanya Allah itu kasih kepada orang yang menjaga kebersihan
(AlBaqarah Ayat 109)

Sabda Nabi Muhammad Sallallahu`alaihi  Wasallam
Sesungguhnya Allah itu cantik dan ia suka kepada kecantikan
(Hadis Shahih Riwayat Muslim)

Sabda Nabi Muhammad Sallallahu`alaihi  Wasallam
Mandilah pada hari Jumaat dan cucilah kepala mu walaupun kamu tidak junub dan pakailah bau bauan
(Hadis Shahih Riwayat Bukhari) 


Sabda Nabi Muhammad Sallallahu`alaihi  Wasallam
Mandi pada hari Jumaat wajib atas orang yang baligh dan hendaklah ia membersihkan gigi dan menggunakan bau bauan
(Hadis Shahih Riwayat Bukhari) 

Sabda Nabi Muhammad Sallallahu`alaihi  Wasallam
Kewajiban dari Allah atas tiap-tiap seorang Islam bahawa ia harus mandi pada tiap-tiap tujuh hari sekali, yakni ia harus cuci kepalanya dan badannya
(Hadis Shahih Riwayat Muslim) 


NIAT MANDI HADAS BESAR
Sahaja aku mengangkat hadas yang besar daripada sekelian badan fardhu kerana Allah Ta`ala


NIAT MANDI SUNAT SEMBAHYANG JUMAAT
Sahaja aku mandi kerana sembahyang daripada hari Jumaat sunat kerana Allah Ta`ala



NIAT SEMBAHYANG IKTIQAF MASJID
Sahaja aku iktiqaf pada masjid ini kerana Allah Ta`ala


NIAT SEMBAHYANG SUNAT TAHEIYATIL MASJID
Sahaja aku sembahyang sunat taheiyatil masjid dua raka`at kerana Allah Ta`ala


NIAT SEMBAHYANG SUNAT JUMAAT DAHULUNYA
Sahaja aku sembahyang sunat Jumaat dua raka`at dahulunya kerana Allah Ta`ala


NIAT SEMBAHYANG FARDHU JUMAAT
Sahaja aku sembahyang fardhu Jumaat dua raka`at mengikut imam kerana Allah Ta`ala


NIAT SEMBAHYANG SUNAT JUMAAT KEMUDIANNYA
Sahaja aku sembahyang sunat Jumaat dua raka`at sesudahnya kerana Allah Ta`ala




<<<<*>>>>

Thursday, June 24, 2010

PERKARA-PERKARA YANG BAIK DILAKUKAN PADA HARI JUMAAT

Perkara-perkara yang baik dilakukan pada hari Jumaat  :
  • Berhenti bekerja atau berniaga pada tiap-tiap hari Jumaat atau sekurang-kurangnya dua jam sabelum sembahyang Jumaat.
  • Membersihkan alat-alat masjid  saperti tikar, lantai, dinding dan peralatan yang lain serta memperbaiki mana-mana yang rosak. Bersama-sama menjaga persekitaran  masjid daripada dimasuki dan dikotori oleh binatang-binatang ternakan atau daripada menggunakan halaman masjid menjadi tempat bermain bola dan lain-lain lagi.
  • Membersihkan kawasan masjid, tanah perkuburan dan lain-lain sesuai dengan keadaannya.
  • Berkenduri kendara atau bersedekah.
  • Sembahyang Hajat memohonkan satu-satu hajat kecil atau besar kepada Allah, jika dilakukan pada tengah malam Jumaat maka itu lebih berkat.
  • Membaca Yasin baik bersaorangan atau beramai-ramai kerana memohonkan satu-satu hajat, sebaiknya salepas  menunaikan fardhu magrib.
  • Bermuzakarah,  mengajar agama, memutuskan satu-satu masaalah agama, atau membaca Al-Quran.
  • Mentelaah dan memperdalamkan lagi pelajaran-pelajaran agama Islam setiap hari Jumaat.
  • Berpuasa pada hari Khamis dan berbuka pada malam Jumaat.
  • Bertaubat dan membersihkan diri daripada dosa-dosa pada malam Jumaat 
  • Menziarahi ibu bapa atau keluarga atau berkunjung ke rumah sahabat handai baik yang sakit atau sehat, mempererat silaturrahim atau melaksanakan niat-niat baik dan nazar-nazar jika ada, pada siang Jumaat adalah sesuai.
  • Menziarahi kubur kedua orang tua  dan keluarga serta sahabat jika telah kembali kerahmatullah , maka pada pagi Jumaat atau petangnya adalah yang sebaik-baiknya. Hadiahkanlah kepada mereka dengan membacakan Surah Al-Ikhlash 10 kali atau lebih, Selawat akan Nabi 10 kali atau lebih, Surah Yaasin sekali atau lebih atau lain-lain surah Al-Quran.
  • Mulai memberhentikan segala perbuatan maksiat dan aktiviti yang tidak diredhai Allah.
  • Menjaga dan memakmurkan masjid dengan menghadiri apa saja keramaian dan kebajikan yang diadakan di masjid.
  • Menanam pokok-pokok bunga supaya mewangikan persekitarannya.
  • Menyalakan lampu-lampu sewaktu hampir waktu sembahyang.
  • Menghulurkan bantuan atau sedekah bagi menjaga kepentingan masjid atau memberi wakaf.

Banyak lagi perkara yang baik dilakukan pada malam dan hari Jumaat oleh itu jangan tinggalkan untok beribadat  dan lalai dengan keduniaan saja, berbaktilah kepada Allah Subhanahu Wata`ala.

Dan jika hendak bersama dengan isteri maka bersama pada malam Jumaat adalah lebih baik daripada malam-malam yang lain tetapi satelah bersama eloklah mandi junub terlebih dahulu atau sekurang-kurangnya menyucinya dengan air yang bersih dengan berniat saperti mandi junub, dengan itu tidur kita akan nyenyak dan didalam keadaan yang bersih. Jika mendapat anak hasil daripada bersama pada malam Jumaat itu mudah-mudahan anak itu akan menjadi  orang yang shalih.

Jika ingin rumah kita di hampiri oleh Malaikat sebaiknya sabelum malam Jumaat bersihkanlah rumah daripada segala najis-najis dan perkara yang dilarang agama, banyak beribadat dan sentiasa bertaubat kepada Allah, serta mewangikan rumah dengan haruman. Bila rumah sentiasa didatangi oleh Malaikat maka ia menandakan rumah itu mendapat berkat , mendapat penjagaan dan perlindungan daripada Allah, harta-benda nya sentiasa selamat dan sentiasa merasa aman dan tenteram.


Wabillahit taufiq.
(((((*)))))


Wednesday, June 16, 2010

AMALAN DI MALAM JUMAAT

 Bila malam Jumaat  akan tiba  mulai dari petang Khamis lagi bersiaplah menyambut dengan segala kebesaran hati.  Satelah habis menyelesaikan  kerja-kerja yang patut pada hari itu bersihkanlah badan saperti mandi dengan bersabun dan lain-lain dan pakailah pakaian yang bersih dan tunggulah ketibaan waktu magrib.

Kalau kita berada di rumah panggillah seisi rumah terutama anak-anak kita dari yang berumur enam tahun keatas supaya bersama-sama mengerjakan sembahyang magrib dan Isya berjemaah. Suruhlah anak-anak kita azan. Kalau mereka tidak pandai ajarlah mereka  sedikit demi sedikit dan kita sendirilah yang menjadi imamnya.

Selepas sembahyang mintalah anak-anak kita menunggu sabentar untuk sama-sama  berwirid dan bertahlil atau untuk memberi serba sedikit nasihat dan pelajaran agama kepada anak kita dengan begitu lepaslah tanggung-jawab kita sebagai ketua keluarga, sambil mengharap keluarga kita akan selamat dunia dan akhirat. Amalkanlah cara-cara ini sepanjang masa.

Sama ada di rumah atau di mesjid buatlah seberapa banyak ibadat saperti sembahyang sunat rawatib (yang mengiringi sembahyang fardu), sembahyang sunat yang utama saperti sunat hajat, sunat tasbih, sunat taubat dan lain-lain.  Banyakkan beristigfar, bertasbih, bertahlil, berselawat, berzikir, membaca surah-surah afdhal saperti Yasiin, , Al Mulk, Al Waqia`ah, dan lain-lain surah Al Quran.

Dan bila menjelang waktu subuh bangunlah segera  bagi mengerjakan sembahyang sunat & fardhu subuh.  Pada malam dan hari Jumaat yang penuh berkat Allah Ta`ala telah menurunkan ayat-ayat yang khas yang sesuai dibaca  lebih-lebih lagi  pada subuh Jumaat saperti surah Al Jumaat, Al An`am, Al Kahfi atau Alif Lam Mim As Sajadah atau Hal ataka.

Ada baiknya membangunkan seisi rumah untuk sama-sama bersembahyang subuh dan salepas sembahyang subuh janganlah tidur lagi, seelok-eloknya beribadatlah lagi dengan membaca zikir-zikir dan lain-lain hingga terbit fajar.

Friday, June 4, 2010

KELEBIHAN HARI JUMAAT

Bagi umat Islam terdapat hari besar dan yang termulia yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad Sallallahu `alaihi wasallam. Baginda  sangat memuliakan hari Jumaat dan memandangnya sebagai hari besar yang wajib di hormati dan di rayakan oleh seluruh umat Islam.

Di antara kelebihan hari Jumaat :

*
Pada hari Jumaat ada ketika masa yang di rahsiakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta`ala bagi mendapat kurniaNya.  Sesiapa yang berdoa pada ketika itu akan di makbulkan doanya oleh Allah Subhanahuu WaTa`ala.

** 
Pada hari Jumaat adalah penghulu segala hari padanya di himpunkan  beberapa banyak kelebihan.

***
Pada hari Jumaat  di sempurnakan kejadian makhluk.

****
Pada hari Jumaat Allah Ta`ala menjadikan Nabi Allah Adam `Alaihis salam dan pada hari Jumaat juga Nabi Allah Adam di masukkan ke dalam Syurga dan pada hari Jumaat juga Nabi Allah Adam `Alaihis salam di turunkan ke bumi dan pada hari Jumaat juga Nabi Allah Adam bertemu dengan Siti Hawa di Padang Arafah dan pada hari Jumaat juga  meniup Israfil `Alaihissalam akan sangka kala menandakan hari Qiamat dan terkejut segala isi bumi dan  langit dan pada hari  Jumaat juga berhimpun segala makhluk di padang Mahsyar dan pada hari Jumaat juga masuk orang-orang Islam ke dalam Syurga dan pada hari Jumaat juga menghadap segala ahli-ahli Syurga kepada Allah Subhanahu Wa Ta`ala.

*****
Hari Jumaat ini telah Allah kurniakan  hanya kepada umat Nabi Muhammad dan tidak kepada umat yang dahulu daripadanya.

******
Barang siapa menghidupkan hari Jumaat dengan amal ibadat maka hiduplah hari-hari yang lain-lainnya.

*******
Orang yang paling hampir dengan Allah pada hari ziarah di akhirat kelak ialah orang beriman yang paling segera datang ke masjid pada hari Jumaat dan yang paling hampir dengan imam sembahyang Jumaat.

********
Pada hari Jumaat dan malamnya di galakkan membaca surat saperti Alif Lam Mim, As Sajadah, Hal Ataka Alaal Insan, Al Jumaat dan Al Kahfi.


*********
Pada hari Jumaat , di sunatkan mandi serta membersihkan badan dan memakai pakaian yang putih serta baru. untuk pergi ke jumaat.

**********
Pada hari Jumaat kita (muslimin) diwajibkan sembahyang Jumaat dan mendengar khutbah Jumaat serta kita disuruh menyegerakan pergi Jumaat.


***********
Allah melebihkan pahala sasaorang yang beramal pada malam dan hari Jumaat.


************
Pada hari Jumaat kita di suruh membanyakkan sembahyang sunat, berzikir , menziarahi kubur dan lain-lain.



*************
Pada hari Jumaat orang yang sedang berniaga dilarang menjalankan apa-apa pun perniagaannya pada waktu sembahyang Jumaat hampir tiba.

**************
Pada hari Jumaat diberikan keistemewaan pahala bersedekah kepada fakir miskin.

***************
Pada hari Jumaat  kita tidak disukai untuk berpuasa.

****************
Sekiranya sesiapa orang-orang Islam yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat menurut pendapat kebanyakan orang adalah mati di dalam keadaan  yang baik, tapi ini juga tergantung kepada amalan sasaorang itu. Kalau ia semasa hidupnya  pasik matinya tetap akan menerima seksaan.

***********************************************************

Melihat kepada banyaknya keistemewaan hari Jumaat kita sepatutnya bersungguh-sungguh menghormati dan memuliakan tiap-tiap hari Jumaat tiba dengan mengerjakan sembahyang Jumaat pada tiap-tiap kali tiba hari Jumaat dan mengerjakan segala macam amal ibadat yang istemewa pada malam dan hari Jumaat serta menghentikan segala perbuatan-perbuatan maksiat mulai daripada malam Jumaat hingga petang Jumaat serta di lanjutkan pada hari-hari yang sehingga sampai ke Jumaat yang akan datang.

Satelah kita bekerja keras mencari rezeki di atas muka bumi ini selama enam hari maka jadikanlah satu hari Jumaat itu hari berehat sambil beramal ibadat dan mengabdikan diri kita  kepada Allah Subhanu Wata`ala Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Satelah kita menyucikan diri kita sehari didalam satu minggu itu iaitu pada hari Jumaat, maka pada hari hari yang lainnya janganlah bertangguh-tangguh lagi untuk mencari rezeki dengan sebanyak-banyaknya yang telah di sediakan oleh Allah dimana-mana sahaja dan di lapangan apa sahaja di atas muka bumi ini dengan segala kesungguhan hati dan dengan cara yang di redhai oleh Allah Subhanahu wata`ala dan satelah cukup enam hari bercuti lagi satu hari atau satengah hari bagi mengabdikan diri kita lagi kepada Allah Subhanahu wata`ala yang menjadikan kita.


Amalkan cara ini sepanjang hayat kita mudah-mudahan kita di ampuni dan dirahmati Allah. Amin. Wabillahit taufiq.

 

********* 

Popular Posts