Sunday, October 31, 2010

Takut Kepada Allah

TAKUTLAH KAMU KEPADA ALLAH TA`ALA

Wahai saudaraku sekalian!....
Takutlah kamu kepada Allah Ta`ala dan dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat, ta`atlah kamu kepada Rasulullah Sallallahu`alaihi Wasallam dengan mengikut sunnahnya.  Mudah-mudahan kamu dikasihani Allah Ta`ala kemudian daripada mati kamu.

Ketahuilah, bahawa mengerjakan sembahyang, mengeluarkan zakat dan mengikut apa-apa jua hukuman-Nya adalah wajib.  Allah telah menjanjikan kepada kamu dengan Syurga di akhirat sebagai balasan-Nya bagi sesiapa yang ta`at dan disiksa-Nya kamu dengan api neraka-Nya kerana membinasakan amanah-Nya.

Dari itu peliharalah sembahyang dan dirikanlah sembahyang Juma`at pada harinya dengan syarat tertentu.  Sembahyang Juma`at itu fardhu `ain atas tiap-tiap lelaki yang merdeka, yang bermukim lagi mastautin empat puloh orang didalam satu kampong.  Barangsiapa meninggalkan sembahyang Juma`at dengan tiada uzurnya tiga kali berturut-turut niscaya tertulis namanya pada Luh Mahfudz sebagai orang yang munafiq dan dilaknat Allah Ta`ala akan dia selama hidupnya jika ia tidak bertaubat daripadanya serta tidak diqadhanya dengan sembahyang zuhur.

Hai saudaraku!....
Banyakkanlah ibadat pada hari Juma`at dan malamnya kerana hari Juma`at itu penghulu segala hari.  Banyakkan membaca Al-Quran dan berselawat atas Nabi Sallallahu `Alaihi Wasallam serta beristigfar setiap kali datang Juma`at.  Pada hari Juma`at terdapat satu masa yang makbul (mustajab).

Apabila masuk masjid kerjakanlah sembahyang tahiyyatul masjid jika tidak ada qadha bagi kamu.  Apabila khatib membaca khutbah maka diamlah dan dengarkan khutbah kerana bacaan khutbah adalah satengah daripada  syarat sah Juma`at.  Jangan berkata-kata waktu khatib membaca khutbah maka barangsiapa berbuat demikian sia-sialah Juma`atnya.

Hai saudaraku!......
Dirikanlah sembahyang dengan berjema`ah  kerana sembahyang berjema`ah itu fardhu kifayah atas lelaki yang merdeka yang tiada uzur baginya.  Berdosalah segala ahli kampong yang tiada mendirikan sembahyang berjema`ah.  Kelebihan sembahyang berjema`ah daripada sembahyang seorang diri ialah :
  • 27 derajat 
  • Memperolehi pahala  sembahyang yang sempurna  
  •  Memperoleh pahala berhimpun beribadat kepada Allah Ta`ala

Barangsiapa sembahyang berjema`ah tiap-tiap waktu hingga sampai  40 hari dan malamnya niscaya disuratkan Allah Ta`ala baginya kelepasan dari api neraka dan kelepasan dari munafiq.  Barangsiapa berjalan menuju masjid dengan niat mengerjakan sembahyang berjema`ah niscaya disuratkan Allah Ta`ala baginya 10 kebajikan, dihilangkan daripadanya 10 kejahatan.

Ya Allah Ya Tuhan kami!...
Jadikanlah kami daripada orang yang takut kepada Engkau dengan istiqamah serta ta`at .  Taufiqkan kami dengan ta`at selama-lamanya. ..Amin..Ya Rabbal `Aalamiin.



والله أعلم

No comments:

Post a Comment

Popular Posts