Thursday, July 15, 2010

IBADAH PADA HARI JUMAAT

Hari Jumaat mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri. Ia adalah penghulu segala hari. Ia juga dianggap hari raya mingguan dalam Islam. Sabda Rasulullah
 صل الله  عليه وسلام  :

 ~* ~ 
Sebaik-baik hari yang matahari terbit pada hari itu ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam telah dijadikan, pada hari itu juga ia dimasukkan dalam syurga, dan pada hari itulah  ia dikeluarkan darinya.

Hari Jumaat juga dinamakan ``hari pemberian tambahan`` kerana pada hari tersebut Allah Subhaanahuu Wata`ala mengurniakan rahmat yang banyak kepada hambaNYA. Segala permohonan yang diminta oleh seseorang hamba itu akan dikabulkan sekiranya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan ``waktu mustajab``. Ia tidak ditentukan, boleh jadi pada waktu pagi atau petang, siang atau malam, ketika imam duduk antara khutbah atau selepas Sembahyang Asar pada hari yang berkenaan. Tujuannya supaya setiap hamba sentiasa beribadat dan berdoa kepada Allah. Rasulullah صل الله  عليه وسلام  bersabda :

~*~
Malaikat Jibrail عليه وسلام telah datang kepadaku sedangkan ditapak tangannya  ada sebuah cermin putih. Ia  berkata : Ini adalah hari Jumaat, yang disediakan untuk mu oleh Tuhanmu, untuk menjadi satu hari raya bagimu dan umatmu selepas kau. Di tengah-tengah cermin ini ada satu titik. Aku (Muhammad) bertanya: Titik apakah ini? Ia menjawab: Ia adalah satu saat dari dua puluh empat jam, barangsiapa berdoa kepada Allah Taala pada saat itu, nescaya Allah Subhanahu Wata`ala memperkenankan permohonannya. Ia (Jumaat) adalah penghulu semua hari.

Terdapat banyak hadis yang membicarakan ketentuan waktu-waktu yang mustajab :

~*~
Darinya (Abu Hurairah) bahawasanya Rasulullah  صل الله  عليه وسلام  menyebut-nyebut tentang hari Jumaat. Beliau bersabda : Pada hari Jumaat itu ada suatu saat yang apabila bertepatan dengan seorang Islam ketika ia sedang sembahyang memohon sesuatu kepada Allah Subhanahu Wata`ala nescaya Allah akan memperkenankan dia. Sambil ia mengisyaratkan dengan tangannya, menunjukkan sedikitnya waktu yang dimaksudkan itu.

Setengah ulama berpendapat bahwa waktu tersebut ialah masa diantara ketika imam duduk diatas mimbar sehinggalah sempurna ia menunaikan sembahyang Jumaat, berdasarkan hadis ini :

~*~
Dari Abu Burdah bin Abu Musa al-Ashari  Radhiallahu `anhu, katanya : Abdullah bin Umar Radhiallahu `anhu bertanya : Pernahkah engkau mendengar ayahmu bercerita tentang Rasulullah صل لله  عليه وسلام  iaitu mengenai Jumaat? Ia menjawab  Ya. Saya pernah mendengar dia (bapa) berkata: Saya mendengar Rasulullah صل الله  عليه وسلام bersabda : Ia adalah antara duduknya imam (di atas mimbar) sehingga sempurna sembahyang.


Hadis yang lain menyatakan  bahawa waktu mustajab yang dimaksudkan itu ialah selepas waktu asar :

~*~
Bahawasanya Nabi  صل الله  عليه وسلام ada bersabda: Sesungguhnya pada hari Jumaat itu ada suatu saat apabila bertepatan dengan seseorang Islam, memohon kepada Allah Subhanahu Wata`ala ketika itu, Allah akan memperkenankannya, (saat itu) ialah selepas asar.

~*~
Nabi  صل الله  عليه وسلام bersabda : Hari Jumaat itu dua belas jam. Sebahagian daripadanya ada suatu waktu, yang tidak didapati padanya seseorang hamba Islam yang memohon sesuatu kepada Allah , melainkan  Allah memberi akan dia, carilah dia pada akhir  waktu, sesudah asar.



Dalam sebuah hadis lain disebutkan bahawa masa yang dimaksudkan itu iala pada akhir hari Jumaat, saperti yang dijelaskan oleh hadis berikut :

~*~
Abu Salamah bin Abdul Rahman berkata : Bahawa sekumpulan manusia yang terdiri daripada sahabat Rasulullah  صل لله  عليه وسلام  duduk berkumpul, lalu mereka membincangkan tentang masa yang terdapat pada hari Jumaat. Mereka kemudian pergi (sesudah menetapkan) bahawa saat itu ialah pada akhir waktu dari hari Jumaat.

Penghulu segala hari ialah hari Jumaat,  sebagai hamba Allah, seseorang itu perlu mengambil peluang dengan kehadiran hari tersebut, yang didatangkaan seminggu  sekali untuk beribadah kepada Allah.  Ini  bertepatan dengan tujuan kelahiran manusia didunia ini, iaitu untuk beribadah kepada Allah (saperti dinyatakan didalam Al-Quran Surah Az-Zariyat Ayat 56). Memang ada  lojiknya sekiranya kita memperbanyak ibadah pada hari berkenaan. Selama enam hari kita telah banyak melakukan amalan keduniaan tetapi mungkin kurang melakukan amalan akhirat. Maka adalah lebih adil sekiranya kita penuhi hari tersebut dengan menumpukan amalan untuk akhirat. Pada setiap hari Jumaat Allah mengutuskan malaikat turun kebumi untuk mencatat nama mereka yang kemasjid, kemudian malaikat-malaikat itu naik kelangit menyembahkan catatan yang dicatatnya dibumi. Allah Subhanahu Wata`ala mengampunkan dosa-dosa mereka yang datang ke masjid :

~*~
Apabila datang hari Jumaat, Allah Taala mengutus malaikat kemuka bumi. Ditangan mereka ada kalam-kalam emas dan kertas daripada perak. Mereka berdiri dipintu-pintu masjid dan menulis nama mereka yang masuk masjid dan bersembahyang Jumaat. Apabila sempurna sembahyang, mereka semua naik ke langit dan berkata : Wahai Tuhan kami, kami telas tulis nama mereka yang masuk masjid dan bersembahyang Jumaat. Allah Ta`ala menjawab: Wahai malaikatKu, demi keagungan dan kebesaranKU sesungguhnya Aku telah ampuni mereka dan mereka sudah tidak berdosa sedikitpun. 

Kebesaran hari Jumaat bukan hanya dimaklumi oleh manusia dan malaikat sahaja tetapi juga oleh semua kejadian Allah, saperti bumi, langit, angin dan sebagainya. Semuanya memohon belas kasihan kepada Allah pada hari berkenaan :

~*~
Penghulu segala hari ialah hari Jumaat.  Itulah hari yang teragong disisi Allah Taala, dan (ia) adalah lebih besar daripada   Hari Raya Fitrah dan Raya Korban. Pada hari itu terjadi lima peristiwa: Allah Taala menurunkan Nabi Adam `alaihis salam ke bumi, pada hari tersebut Allah Ta`ala mematikan Nabi Adam, pada hari Jumaat itu juga ada suatu saat yang tidak ada seorang hambapun yang memohon sesuatu, kecuali Allah Ta`ala akan perkenankan permohonannya, selagi ia tidak meminta sesuatu yang haram. Pada hari itu juga terjadinya hari kiamat.  Tidak ada seorang malaikat pun, sekalipun yang amat dekat kedudukannya (di sisi Allah), langit,bumi, angin, gunung, juga lautan, melainkan semuanya memohon belas kasihan pada hari  Jumaat.


Di antara amalan yang patut  dilakukan pada hari Jumaat  ialah membaca Al-Quran. Diantara surah yang perlu dibaca ialah surah Al-Kahfi.  Allah Ta`ala mengampunkan dosa mereka yang membaca surah tersebut sehingga dua Jumaat. Saperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis :

~*~
Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka memancarlah cahaya dari bawah tapak kakinya hingga ke puncak langit. Cahaya itu terus menyinarinya pada hari kiamat dan diampunkan untuknya antara dua Jumaat. 





No comments:

Post a Comment

Popular Posts